Rabu, 13 March 2019 | 8:28pm
BEKAS Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim. - Foto Adi Safri.

Mahkamah benarkan Razali batal saman Synergy Promenade

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadapnya oleh syarikat pemaju perumahan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Saman fitnah itu berkaitan kenyataan dikeluarkan Razali membabitkan projek Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC) di Jalan Semarak.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili SPSB ketika ditemui pemberita berkata, hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati kenyataan Razali tidak memfitnah syarikat pemaju terbabit.

Perkara itu disahkan peguam daripada firma guaman Tetuan Gideon Tan Razali Zaini yang mewakili Razali.

Menurut peguam itu (yang enggan dikenali), mahkamah turut memerintahkan SPSB membayar kos sebanyak RM3,000.

Katanya, anak guamnya memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada Oktober tahun lalu dengan alasan saman berkenaan tidak mempunyai klausa tindakan munasabah.

SPSB selaku plaintif memfailkan saman itu pada 16 Julai 2018 selepas mendakwa Razali mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai pembabitan SPSB sebagai pemaju utama projek KLVC.

Syarikat itu berkata, kenyataan itu adalah palsu, tidak berasas dan mencemarkan reputasinya.

Katanya, ia sebelum ini sudah menyampaikan notis tindakan kepada defendan (Razali) menuntutnya memohon maaf, bagaimanapun beliau gagal berbuat demikian.

SPSB dengan itu memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Razali mengulangi atau menerbitkan kenyataan itu, ganti rugi RM100 juta dan perintah supaya defendan memohon maaf berdasarkan terma dipersetujui syarikat berkenaan.

Berita Harian X