Isnin, 11 March 2019 | 8:14pm
KEADAAN motosikal yang dibonceng Siti Aishah selepas dilanggar van Pos Laju di Jalan Ayer Hangat, Langkawi. - Foto IHSAN PEMBACA

Remaja maut selepas 5 jam nahas motosikal, van

LANGKAWI: Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang maut selepas motosikal diboncengnya dirempuh sebuah van di Jalan Ayer Hangat di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Siti Aishah Kamarul Zaman, 16, yang membonceng motosikal ditunggang rakannya, disahkan meninggal dunia selepas kira-kira lima jam menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Langkawi.

Rakannya yang juga berusia 16 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata nahasa itu apabila motosikal dinaiki dua remaja terbabit cuba membuat pusingan U sebelum dilanggar van dari belakang.

“Pemandu van berusia 30 tahun tidak sempat mengelak ketika mangsa membuat pusingan U dari bahu kiri jalan. Mangsa yang tidak memakai topi keledar dilaporkan cedera parah di bahagian kepala sebelum dihantar dengan ambulans ke HL,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis kemudian dimaklumkan mangsa meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Zon Merah di HL.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X