Isnin, 11 March 2019 | 4:21pm
DR Sahruddin Jamal (kanan) dan Dr Muhammad Ezanni melihat sisa buangan kimia di kilang memproses barangan lusuh yang disita di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Suspek rancang buang lagi bahan kimia malam ini

PASIR GUDANG: Walaupun perbuatannya sudah menyebabkan 80 orang dirawat di hospital akibat pencemaran gas metana, suspek sama dikatakan merancang membuang lagi bahan kimia ke Sungai Kim Kim malam ini.

Rancangan pemilik kilang barangan lusuh dan seorang pekerjanya yang masing-masing berusia 50 dan 40-an itu, bagaimanapun digagalkan apabila premis mereka di Taman Pasir Putih di sini, diserbu polis serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, tengah hari tadi.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata berdasarkan maklumat diterima, mereka mengenal pasti lokasi kilang itu terletak kira-kira 500 meter dari tempat pembuangan yang dikesan di Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih di sini, Khamis lalu.

“Ketika serbuan jam 12.30 tengah hari tadi, kami menemui dua suspek terbabit serta bahan kimia yang sudah dibungkus dan apabila ditanya pekerja itu mengakui mahu membuangnya di lokasi sama di sungai itu malam ini.

“Selain itu, kita turut menyerbu sebuah kilang memproses bahan kimia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini di Kulai dekat sini jam 7 malam tadi.

“Kilang itu pernah disita sebelum ini kerana kes pencemaran alam sekitar dan ketika serbuan malam tadi, pemiliknya yang berusia 50-an tidak dapat menjelaskan ke mana sisa bahan kimia di dalam premis itu dibuang,” katanya ketika meninjau kilang memproses barangan lusuh itu yang sudah disita di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Ezanni berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan yakin mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa ketiga-tiga mereka minggu ini.

Khamis lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, lebih 80 mangsa dirawat di hospital dan klinik akibat pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab, kira-kira jam 2 pagi Khamis.

8077 dibaca
Berita Harian X