Isnin, 11 March 2019 | 3:38pm
PENGARAH JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh. - Foto BERNAMA

Tiga suspek buang bahan kimia ditahan

PASIR GUDANG: Polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menahan tiga suspek yang dipercayai membuang sisa kimia dalam Sungai Kim Kim, di sini, sehingga mengakibatkan pencemaran gas metana Khamis lalu.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata tiga lelaki berusia 50-an, termasuk dua pemilik kilang, ditahan dalam operasi khas semalam dan hari ini.

"Seorang pemilik kilang memproses barangan lusuh bersama pekerjanya ditahan di kawasan kilangnya di Taman Pasir Putih di sini jam 12.30 tengah hari tadi.

"Seorang lagi pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan di Kulai dekat sini, jam 7 malam tadi," katanya ketika ditemui di kilang barangan lusuh yang sudah disita itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Ezanni berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan yakin mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka minggu ini.

Khamis lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 82 mangsa dirawat di hospital dan klinik akibat pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab, kira-kira jam 2 pagi Khamis lalu.

4421 dibaca
Berita Harian X