Isnin, 11 March 2019 | 3:12pm
PEGAWAI JAS mengambil sampel bahan kimia sambil diperhatikan Dr Sahruddin (kiri) dan Dr Muhammad Ezanni (kanan) di kilang memproses barangan lusuh yang disita di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pencemaran Sungai Kim Kim: Dua pemilik kilang antara 3 ditahan

PASIR GUDANG: Polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menahan tiga suspek yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di sini, sehingga mengakibatkan pencemaran gas metana pada Khamis lalu.

Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata tiga lelaki berusia 50-an termasuk dua pemilik kilang itu ditahan dalam operasi khas semalam dan hari ini.

“Seorang pemilik kilang memproses barang lusuh bersama pekerjanya ditahan di kawasan kilangnya di Taman Pasir Putih di sini jam 12.30 tengah hari tadi. Seorang lagi pemilik kilang memproses bahan kimia ditahan di Kulai dekat sini, jam 7 malam tadi,” katanya ketika ditemui di kilang barang lusuh yang disita itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Mohammad Ezanni berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan dan yakin mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka minggu ini.

Khamis lalu, media melaporkan 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih di sini, diarah mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 82 mangsa dirawat di hospital dan klinik akibat pencemaran gas itu. Mereka termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia dari sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab, kira-kira jam 2 pagi Khamis.

Berita Harian X