Ahad, 10 March 2019 | 3:12pm

2 sekolah dibersihkan susulan penyebaran gas metana

PASIR GUDANG: Hampir 200 orang termasuk guru dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, hari ini berganding bahu membersihkan dua sekolah yang terjejas akibat penyebaran gas metana, Khamis lalu.

Tinjauan BH di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih yang ditutup sementara, mendapati kerja pembersihan giat dijalankan, termasuk mengelap tingkap dan membasuh langsir.

Pengetua SMK Pasir Putih, Warda Ismail, berkata proses pembersihan dijalankan seawal jam 8 pagi tadi bagi memastikan kawasan sekolah itu, terutama bilik darjah, bebas daripada sisa toksik berbahaya.

“Pihak sekolah menerima bantuan 25 pekerja pembersihan daripada lima sekolah berhampiran, selain 20 kakitangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (10) serta guru SMK Pasir Putih.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) sudah memberikan taklimat khas mengenai cara mengendalikan kerja pembersihan sisa toksik beracun.

“Semua fabrik termasuk langsir perlu dibasuh, penapis pendingin hawa dibersihkan, manakala tingkap dan kipas di bilik darjah serta makmal dilap sebelum kipas dipasang bagi mengeluarkan udara tercemar,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Pendidikan Johor mengeluarkan arahan penutupan sementara selama sehari dua sekolah terbabit susulan syor Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan Sungai Kim Kim.


Notis penutupan sementara SMK Pasir Putih, Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Keadaan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang dipenuhi tompokan hitam dipercayai sisa bahan kimia berbahaya yang dibuang secara haram pada Khamis lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Media sebelum ini melaporkan 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih diarah mengosongkan kawasan sekolah kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 79 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas itu dengan empat orang, termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, seorang pengusaha kantin dan seorang pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi Khamis.

2658 dibaca
Kakitangan sekolah termasuk guru giat melakukan kerja pembersihan sisa toksik di SMK Pasir Putih, Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Petugas berganding bahu membersihkan sekolah yang terjejas akibat penyebaran gas metana, Khamis lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X