Sabtu, 9 March 2019 | 3:21pm
Satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Lim Guan Eng. - Foto BERNAMA

Laporan polis dibuat berita palsu kaitkan Guan Eng

PUTRAJAYA: Satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Laporan itu dibuat pada Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim, berkata Guan Eng tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Katanya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan platform palsu yang disunting menyerupai format portal berita tempatan untuk menyebar maklumat tidak sahih bagi menimbulkan kekeliruan serta kemarahan rakyat, amat dikesali.

“Ia bertujuan untuk memfitnah Guan Eng. Berita yang begitu jelas palsu ini, giat disebarkan melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp, dengan tujuan menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat.

“Beliau (Guan Eng) tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan. Mesej dengan niat jahat itu bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman, perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian terhadap beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lutfi berkata, adalah penting untuk orang ramai menyemak maklumat yang diterima, sama ada melalui aplikasi seperti WhatsApp, media sosial atau saluran lain dengan dengan sumber maklumat sahih seperti akhbar rasmi serta laman web, saluran Facebook dan Twitter rasmi Kementerian Kewangan.

Katanya, tindakan menyebarkan mesej itu adalah satu perbuatan jenayah mengikut undang-undang termasuk mengikut Seksyen 505, 500, 124H, 124I Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

1424 dibaca
Berita Harian X