Sabtu, 9 March 2019 | 12:15pm

Polis cari dalang buang sisa kimia

JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima lima laporan polis membabitkan kes pembuangan sisa kimia secara haram yang dikenal pasti sebagai gas metana di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pihaknya kini bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa bahan kimia berbahaya berkenaan.

Katanya, polis juga sudah mendapatkan sampel sisa bahan kimia berkenaan untuk disiasat dengan menyalurkannya kepada Jabatan Kimia.

“Polis sudah menerima lima laporan polis yang dibuat keluarga pelajar terjejas serta orang awam sejak semalam.

“Tindakan membuang sisa kimia berbahaya di kawasan tidak sepatutnya amat tidak bertanggungjawab, malah secara terang-terangan tidak menghiraukan langsung keselamatan nyawa manusia, apatah lagi alam sekitar.

“Kita akan mengesan dalang pembuangan sisa kimia ini dengan apa cara sekali pun bagi memastikan mereka bertanggungjawab atas kesalahan besar yang dilakukan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Hari Bertemu Pelanggan Mega Polis Diraja Malaysia Johor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Kelmarin, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 79 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia dari lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada nyawa manusia.

Katanya, ia juga disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan bahan beracun sehingga membahayakan nyawa manusia.

“Polis meminta orang ramai yang tahu atau ternampak aktiviti mencurigakan berkenaan kes pembuangan sisa kimia berbahaya di kawasan Sungai Kim Kim untuk tampil ke balai berdekatan bagi membantu siasatan sekali gus mengesan dalang terbabit,” katanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X