Sabtu, 9 March 2019 | 8:27am
LOKASI mangsa ditetak akibat cemburu di Taman Kurau Indah, Kuala Kurau. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Lelaki tetak sepupu angkara cemburu

PARIT BUNTAR: Seorang lelaki parah dirempuh dengan motosikal sebelum ditetak menggunakan parang di simpang jalan Taman Kurau Indah, Kuala Kurau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 37 tahun dalam perjalanan melihat kambing ternakannya dan terserempak dengan suspek berusia 30-an sebelum dirempuh dengan motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian dipercayai kerana cemburu hubungan rapat mangsa dan isterinya.

“Difahamkan, mangsa yang dipercayai sepupu kepada isteri suspek, mempunyai hubungan rapat dengan isterinya dan pernah melihat isterinya membonceng motosikal dengan mangsa.

“Selepas merempuh mangsa, dipercayai berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka sebelum suspek bertindak merampas parang mangsa dan menetaknya di belakang leher dan kepala.

“Suspek kemudian dipercayai melarikan diri dan meninggalkan mangsa serta parang yang digunakan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sanusi berkata, mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan.

Katanya, polis sudah merampas parang sepanjang 0.4 meter digunakan suspek untuk menetak mangsa dan sedang memburu suspek yang dikenali sebagai Syafiq.

Menurutnya, kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

1671 dibaca
Berita Harian X