Sabtu, 9 March 2019 | 12:16am

Abang maut dilanggar kereta adik

PENDANG: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar adiknya dengan sebuah kereta di hadapan rumah mereka di Kampung Haji Bunga, Mukim Air Puteh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata kejadian berlaku pada 8.30 malam selepas mangsa, Mohammad Zaki Abd Shukor, 39, yang disyaki penagih dadah, dikatakan mengamuk menggunakan sebilah parang di rumah kerana meminta wang daripada ibunya.

“Ibu dan adik perempuan mangsa yang berada di rumah ketika itu mengurungkan diri di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah kerana ketakutan dan mangsa dikatakan mengetuk pintu bilik itu.

“Adiknya kemudian membuka pintu dan ibunya memberikan wang sebanyak RM50 kepada mangsa sebelum mangsa beredar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Arriz Sham berkata, pada masa sama ibu mangsa menghubungi seorang lagi anak lelakinya yang berusia 33 tahun dan memberitahunya mengenai perbuatan abangnya mengamuk di rumah.

Beliau berkata, ibu dan anak perempuan itu kemudian terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumah sebelum melihat mangsa terbaring di hadapan kereta jenis Proton Saga FLX warna putih dipandu adik mangsa yang baru tiba di rumah.

“Selepas berlaku pelanggaran itu, suspek dilihat terus berlari menuju ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terletak di belakang rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Katanya, suspek kemudian pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk membuat laporan polis.

“Hasil siasatan awal, kita percaya suspek sengaja melanggar mangsa kerana tiada kesan brek di lokasi kejadian,” katanya.

Arriz Sham berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mangsa pula memiliki 12 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk samun. - BERNAMA

2221 dibaca
Berita Harian X