Jumaat, 8 March 2019 | 5:10pm
Penduduk Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, 50, menunjukkan sisa bahan kimia yang masih bertakung di sungai belakang rumahnya dan masih menghasilkan bau. - NSTP/Izlaily Nurul Ain Hussein

Gas metana: Bahan kimia dipercayai minyak cuci kapal

PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti bahan kimia yang dibuang dalam Sungai Kim Kim sehingga menyebabkan pencemaran gas metana di sini, semalam, sebagai minyak digunakan untuk mencuci kapal.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Muhammad Ezani Mat Salleh, berkata siasatan awal pihaknya mendapati minyak yang sudah digunakan itu dibuang secara haram dipercayai untuk menjimatkan kos pelupusan.

“Sisa minyak ini yang digunakan untuk aktiviti mencuci kapal sepatutnya dilupuskan mengikut prosedur sepatutnya, tetapi pihak tidak bertanggungjawab ini ambil jalan mudah, buang saja di sungai.

“Buat masa ini kita belum tahu identiti pihak bertanggungjawab, namun sudah mengenal pasti kira-kira 30 kilang yang menghasilkan sisa bahan kimia berhampiran sungai itu.

“Kita akan jalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut menggunakan sampel bahan kimia yang diambil di sungai itu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 1,400 pelajar di SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, di sini, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Secara keseluruhan, seramai 39 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas itu dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, selain seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak yang belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi semalam.

3082 dibaca
Berita Harian X