Jumaat, 8 March 2019 | 12:02pm
SUSPEK ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya. - Foto ihsan polis

Belasah isteri guna ekzos motosikal

LAHAD DATU: Seorang lelaki tergamak menumbuk muka isterinya bertubi-tubi sehingga mata lebam dan bibir pecah hanya kerana wanita itu menegur perbuatannya memarahi anak mereka.

Tidak cukup dengan itu, kejadian di rumah kongsi, Ladang Bagahak 2, Tungku, jam 3.30 petang, kelmarin, suaminya turut memukul belakang badan isterinya menggunakan ekzos motosikal sehingga bengkak.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata siasatan mendapati wanita warga tempatan berusia 36 tahun itu mempertahankan anak mereka selepas dimarahi oleh suaminya kerana masalah anak-anak yang bertengkar ketika bermain.

"Suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan ladang berkenaan kemudian bertengkar dengan isterinya itu sebelum memukul belakang isterinya menggunakan ekzos motosikal.


EKSOZ yang dipercayai digunakan suspek memukul isterinya. - Foto ihsan polis

"Mangsa bersama anak-anaknya melarikan diri ke rumah ketua kampung yang tinggal berdekatan. Namun tidak lama kemudian suspek datang dan terus memukul muka dan badan mangsa bertubi-tubi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, berikutan itu, ketua kampung datang dan meleraikan keadaan sebelum suspek melarikan diri manakala ketua kampung melaporkan kejadian itu kepada majikan suspek.

"Akibat perbuatan suspek itu, mangsa mengalami bengkak dan lebam di kedua-dua bawah mata manakala bibirnya pecah, serta lebam dan bengkak pada kedua-dua tangan dan belakang badannya.

"Selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan digantung kerja. Mangsa kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Lahad," katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya diberkas di kawasan ladang di Jalan Tungku, dekat sini, jam 1.30 tengah hari, semalam.

"Suspek yang ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu direman untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas batang ekzos motosikal yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Difahamkan, mangsa mendirikan rumah tangga dengan suspek pada 2010 dan dikurniakan tiga anak.

Berita Harian X