Khamis, 7 March 2019 | 8:18pm
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud menunjukkan pasport palsu yang dirampas pada sidang media di Jabatan Imigresen Malaysia. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Imigresen patahkan sindiket palsu dokumen

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) mematahkan dua sindiket pemalsuan dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) didalangi warga Bangladesh di Ampang dan Subang Jaya, Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata dalam serbuan yang dilakukan selama dua hari berakhir semalam, seramai 17 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan ditahan.

“Dalam serbuan pertama di Ampang, seramai lapan warga Bangladesh ditahan yang berumur antara 30 tahun hingga 46 tahun.

“Sindiket ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen sejak tiga tahun lalu.

“Antara barangan yang dirampas dalam serbuan pertama ialah 110 pasport Bangladesh dan tiga pasport palsu dari negara yang sama. Selain itu kita turut merampas sebanyak tujuh pelekat JIM palsu,” katanya pada sidang media Kes Tangkapan Operasi Bersepadu (OPS Serkap), di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, bagi serbuan kedua di Subang Jaya, seramai sembilan warga Bangladesh dan seorang warga tempatan ditahan.

“Sindiket ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen sejak enam tahun lalu.

“Antara barangan yang dirampas ialah sebanyak 1,040 pasport dari pelbagai negara yang kebanyakan dari Bangladesh, cop kementerian dalam negeri dan cek kepada Ketua Pengarah Imigresen,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan, warga asing yang ingin mendapatkan khidmat pemalsuan PLKS, perlu membayar antara RM2,500 hingga RM 3,000 bagi setiap pelekat.

“Kegiatan ini menyebabkan Jabatan Imigresen menanggung kerugian levi perkhidmatan sekitar RM2.47 juta setahun.

“Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda pengesahan untuk digunakan sebagai visa, permit atau pas.

“Mereka berdepan dengan hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya.

Berita Harian X