Khamis, 7 March 2019 | 6:59pm
Pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan kepada pelajar yang terhidu bahan kimia berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan SK Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Anggota HAZMAT dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kimkim. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

30 mangsa gas metana

PASIR GUDANG: Bilangan mangsa yang mendapatkan rawatan selepas terhidu gas metana berikutan pembuangan bahan kimia secara haram berhampiran kawasan sekolah di Taman Pasir Putih di sini, pagi tadi, meningkat kepada 30 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata semua mereka berada dalam keadaan stabil.

“Seramai 21 orang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), enam orang di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan tiga orang di Hospital Penawar.

“Bagaimanapun, dua mangsa yang dirawat di HSI masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya di HSI selepas melawat mangsa yang dirawat di situ, hari ini.

Seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, diarahkan mengosongkan kawasan sekolah itu pagi tadi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.


Sungai Kimkim yang dicemari bahan kimia mengakibatkan mangsa mengalami kesesakan nafas di SK Taman Pasir Putih dan SMK Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahya Madis (kiri) menunjukkan sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kimkim. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Seorang Pengawal Keselamatan SMK Pasir Putih dilihat memasang notis penutupan sementara sekolah. - Foto BERNAMA

Sebelum ini, media melaporkan secara keseluruhan 28 mangsa membabitkan pelajar dan pekerja kantin dirawat akibat kejadian itu.

Dua lagi mangsa kejadian berkenaan sehingga jam 5 petang adalah kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam Sungai Kimkim oleh pihak belum dikenal pasti, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Dr Sahruddin menasihatkan penduduk Kampung Bukit Pulai dan Ladang Tong Heng Lama yang terletak berhampiran sungai itu supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom sesak nafas, batuk dan mata merah.


Dr Sahruddin (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Islam negeri, Aminolhuda Hassan (tengah) diiringi Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz (kanan) ketika melawat mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, pihak bertanggungjawab membuang bahan kimia ke Sungai Kimkim sehingga menyebabkan penyebaran gas metana itu belum dikenal pasti.

“Siasatan masih dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab boleh didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

1104 dibaca
Berita Harian X