Khamis, 7 March 2019 | 4:27pm
ANGGOTA Hazmat dan pegawai JAS mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kimkim. - Foto Hairul Anuar Rahim.

Lori tangki buang bahan kimia dalam sungai

PASIR GUDANG: Pembuangan bahan kimia daripada sebuah lori tangki ke dalam sungai dipercayai menjadi punca penyebaran gas metana yang memaksa dua sekolah di Taman Pasir Putih di sini, dikosongkan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis, berkata siasatan pihaknya mendapati ada saksi melihat kegiatan mencurigakan sebaik lori tangki itu berhenti di tepi Sungai Kimkim berhampiran sekolah terbabit.

“Saksi terbabit ternampak lori itu berhenti berhampiran sebuah jambatan yang dalam pembinaan sebelum beberapa lelaki keluar dan menurunkan hos dari tangki ke dalam sungai.

“Kita percaya mereka membuang bahan kimia berbentuk minyak yang mengeluarkan gas metana di kawasan sejauh 500 meter dari tempat pembuangannya termasuk dua sekolah terbabit.

“Sehingga kini (jam 3 petang) seramai 20 orang termasuk 11 murid sekolah rendah, sekolah menengah (enam) dan pekerja kantin (tiga) terjejas dengan ada yang muntah serta pengsan selepas menghidu gas berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seramai 1,400 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, diarah mengosongkan kawasan sekolah itu pagi tadi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Mengulas lanjut, beliau berkata Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel cecair itu dan menghantarnya ke makmal untuk ujian menentukan kandungan sebenar bahan kimia berkenaan.

Beliau berkata pasukannya menggunakan peralatan penyerap minyak dikenali sebagai ‘oil boom’ bagi mengelakkan cecair kimia itu merebak ke kawasan lain.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Lokman Hakim Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.15 pagi tadi dan secara keseluruhan, seramai 30 anggota dihantar ke tempat kejadian.

3463 dibaca
Berita Harian X