Khamis, 7 March 2019 | 10:36am
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran Kilang memproses papan, perabot dan membuat khemah di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. - Foto ihsan bomba

Kilang proses papan, perabot dan buat khemah musnah terbakar

SANDAKAN: Kilang memproses papan, perabot dan membuat khemah di Jalan Lintas Sibuga, dekat Taman Anggerik, di sini, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, empat buah lori turut hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung, berkata sebaik menerima panggilan jam 12.07 tengah malam, tiga jentera bersama seramai 13 anggota bomba ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba didapati api sedang marak dan pasukan kami bergegas menjalankan operasi mengawal api.

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran Kilang memproses papan, perabot dan membuat khemah di Jalan Lintas Sibuga, Sandakan. - Foto ihsan bomba

“Seterusnya, pada jam 1.20 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan sebuah kilang yang menempatkan stok pelbagai kayu dan papan.

“Selain itu, kawasan seluas 2,787 meter persegi turut menempatkan kilang memproses papan, perabot dan membuat khemah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jimmy berkata, sebanyak empat buah lori hangus terbakar manakala sebuah lagi lori dan kereta Perodua Viva hanya terkena bahang api selepas berjaya diselamatkan pasukan bomba.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kejadian serta anggaran kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Berita Harian X