Rabu, 6 March 2019 | 11:58am

Rokok seludup bernilai RM29,000 ditemui di dalam kereta

TUMPAT: Polis menemui 330 karton rokok dianggarkan bernilai RM29,000 dipercayai diseludup dari negara jiran, di dalam sebuah kereta yang dikejar sejauh kira-kira lima kilometer, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 malam, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan di Wakaf Zink, Chabang Empat, mendapati kereta jenis Proton Wira itu berkeadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata anggotanya kemudian mengarahkan pemandu kereta terbabit berhenti, namun suspek terus memecut kenderaannya.

“Anggota MPV mengejar kenderaan itu sejauh kira-kira lima kilometer hingga ke Kuala Jambu.

“Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas sebaik tiba di jalan mati sebelum pemandu terbabit mengundurkannya dan melanggar kereta peronda anggota,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ab Rashid berkata, suspek kemudian keluar dari kereta dan melarikan diri sehingga berjaya lolos berikutan keadaan gelap.

“Susulan itu, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit menemui 330 karton rokok dipercayai diseludup dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM29,000,” katanya.

Sementara itu, pada hari sama, beliau berkata, polis menahan tiga lelaki dalam dua kes berasingan di Kampung Bahagia, Chabang Empat, dan Kampung Padang Rokma, di sini.

“Dalam operasi itu, kita merampas heroin seberat 4.5 gram bernilai RM1,600 dan 208 botol ubat batuk.

“Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun direman empat hari bermula semalam,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud menunjukkan sebahagian 330 karton rokok, 108 botol ubat batuk 208 dan 4.5 gram heroin hasil serbuan di Wakaf Zink, Chabang Empat dan di Kampung Berangan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X