Rabu, 6 March 2019 | 10:03am
Anggota bomba mengawal kebakaran sebuah kedai menjual peralatan upacara keagamaan dalam kejadian di Jalan Masak, Keningau. - Foto ihsan Bomba

Kedai jual kelengkapan upacara keagamaan musnah terbakar

KENINGAU: Sebuah kedai menjual peralatan upacara keagamaan di Jalan Masak, di sini musnah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, api dikatakan merebak dengan cepat berikutan kebanyakan barangan di dalam kedai berkenaan adalah jenis mudah terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 8.05 malam sebelum mengerah 23 anggota diketuai Ketua Balai Bomba Keningau, Jaree Mohammad ke lokasi kejadian.


Anggota bomba mengawal kebakaran sebuah kedai menjual peralatan upacara keagamaan dalam kejadian di Jalan Masak, Keningau. - Foto ihsan Bomba

“Sebaik tiba, api sudah membakar ketiga-tiga lot kedai berkenaan dan operasi segera dimulakan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke lot bersebelahan.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.02 tengah malam sebelum operasi tamat sepenuhnya selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu yang turut menyebabkan semua barangan di dalam premis berkenaan musnah.

Setakat ini, beliau berkata, Bahagian Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian.

Berita Harian X