Rabu, 6 March 2019 | 8:35am
Pasukan bomba mengawal kebakaran bangunan dua tingkat yang menempatkan kedai tayar dan bengkel kereta di Country Height, Jalan Bantayan, Penampang. - Foto ihsan Bomba

Kedai tayar dan bengkel kereta terbakar

PENAMPANG: Bangunan dua tingkat yang menempatkan kedai tayar dan bengkel kereta di Country Height, Jalan Bantayan, di sini terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, bangunan terbabit musnah 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.33 pagi dan enam jentera dengan kekuatan seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bangunan dua tingkat menempatkan kedai tayar dan bengkel kereta didapati terbakar. Pasukan bomba bertindak memadam api daripada merebak ke bahagian lot kedai bersebelahan.

"Pada jam 4.21 pagi, kebakaran dipadamkan sepenuhnya, tanpa sebarang kecederaan atau kematian manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya di sini, hari ini.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan Penampang.

Berita Harian X