Selasa, 5 March 2019 | 7:21pm

Bekas penolong jurutera ditahan kes pengubahan wang haram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas penolong jurutera mekanikal kerana kesalahan pengubahan wang haram di sini, hari ini.

Sumber berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, suspek terbabit dalam transaksi wang tunai berjumlah lebih RM180,000 yang diperoleh daripada aktiviti haram bagi perbelanjaan pengubahsuaian rumahnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.

Pada Oktober tahun lalu, suspek sama dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka kerana didakwa menerima suapan wang tunai dan barang pembinaan rumah bernilai hampir RM500,000 daripada kontraktor sebagai upah membantu mendapatkan tender projek di sebuah pusat latihan polis.

372 dibaca
Berita Harian X