Selasa, 5 March 2019 | 12:02pm
DUA remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui lemas manakala tiga rakannya selamat selepas kelima-lima mereka dipercayai mandi di sungai berdekatan Kampung Tersusun Batu 4, Tambun. - Foto IHSAN BOMBA.

2 remaja ditemui lemas di sungai

IPOH: Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditemui lemas dipercayai dihanyutkan arus ketika bermandi-manda di sungai berdekatan Kampung Tersusun Batu 4, Tambun, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa yang turut mandi bersama di sungai itu, dilaporkan selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi tadi memaklumkan ada dua pelajar sekolah menengah hilang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan mangsa pertama dijumpai pada jam 10.12 pagi, manakala mangsa kedua ditemui 16 minit kemudian di lokasi berdekatan.

“Pencarian dijalankan oleh pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dengan turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

875 dibaca
Berita Harian X