Isnin, 4 March 2019 | 8:44am
GAMBAR fail, Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Pemancing dikhuatiri lemas bot karam

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bot pam dinaiki bersama rakannya dipukul ombak, dekat sini, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata mangsa dilaporkan hilang, Herman Gasim, 31, bersama rakannya Mazlan Mohamad, terdahulu keluar memancing sebelum bot dinaiki karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku, pada jam 12.50 tengah hari.

“Namun, rakan mangsa berjaya berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Abdul Muhaimin berkata, SAR diaktifkan pada jam 6 pagi semalam.

“Operasi itu membabitkan empat aset laut daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, hingga jam 6 petang semalam, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan hari ini merangkumi kawasan seluas 86 batu nautika persegi. –BERNAMA

Berita Harian X