Isnin, 4 March 2019 | 2:08am

Remaja 'Mat Rempit' kena 7 saman

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan lima dikesan melakukan pelbagai kesalahan ketika ditahan dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut, di sini, malam tadi.

Antara kesalahan remaja lelaki berusia 17 tahun itu adalah tidak memiliki lesen menunggang motosikal, mengubah suai struktur motosikal serta menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.


PASUKAN Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada ‘Mat Rempit’ di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - NSTP/Rosdan Wahid

Ketika disoal siasat, remaja itu mengakui mengubah suai motosikal milik bapanya itu bagi tujuan menyertai lumba haram di Damansara.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata remaja itu menerima sebanyak tujuh saman atas kesalahan yang dilakukannya.

“Selain itu, dalam operasi yang sama kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an kerana menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

“Secara keseluruhan, sebanyak 375 saman dikeluarkan oleh polis sementara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 36 notis periksa kenderaan dan 14 saman untuk pelbagai kesalahan,” katanya selepas operasi tamat, malam tadi.

Zulkefly berkata, dalam operasi yang bermula pada jam 10.30 malam itu sebanyak 745 motosikal dan 196 kereta diperiksa.

“Operasi dijalankan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan jenayah ragut di sekitar ibu kota.

“Walaupun berulang kali melakukan operasi, kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu dan menunggang motosikal masih lagi dikesan dilakukan oleh pengguna jalan raya,” katanya.

Operasi yang tamat pada jam 1 pagi itu disertai enam pegawai dan 95 anggota JSPT Kuala Lumpur dan seramai lima anggota dari JPJ Kuala Lumpur.

1816 dibaca
PASUKAN Trafik Kuala Lumpur berjaya mengepung kumpulan penunggang motosikal dalam Operasi Bersepadu Motosikal dan Pelbagai Kesalahan (Op Tutup) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - NSTP/Rosdan Wahid
Berita Harian X