Jumaat, 1 March 2019 | 8:50am

Mayat lelaki terapung ditemui

LUMUT: Mayat lelaki dipercayai warga tempatan ditemui terapung di Kuala Sungai Sempit, Segari di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari, mayat lelaki berusia 50-an ditemui orang awam yang melalui kawasan berhampiran sebelum memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata pihaknya mendapati mayat lelaki dipercayai warga tempatan itu memakai kemeja-T hitam berkolar dan berseluar jeans pendek.

Katanya, mayat ditemui terapung kira-kira lima meter dari tebing sungai.

“Mangsa disyaki sudah meninggal dunia kurang 24 jam dan tiada sebarang kesan cedera ditemui pada badan mangsa.

“Siasatan awal polis menemui sebuah pikap jenis Toyota Hilux 500 meter dari tempat mayat dijumpai dan kunci kereta juga ditemui dalam saku seluar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Berita Harian X