Jumaat, 1 March 2019 | 12:25am
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tumpat memeriksa mayat Mohd Haikal yang ditemui lemas di tepi sungai berhampiran Gertak Keretapi Tok Selehong, Kampung Kok Pasir, Tumpat. - Ihsan APM Tumpat

Remaja lemas selepas elak dilanggar kereta api

TUMPAT: Tindakan seorang remaja yang terjun ke dalam sungai bagi mengelak dari dilanggar kereta api berakhir tragedi, apabila dia ditemui lemas.

Mayat Mohd Haikal Firdaus Roslan, 15, ditemui di tepi sungai berhampiran Gertak Keretapi Tok Selehong, Kampung Kok Pasir, di sini oleh penduduk kampung.

Sebelum kejadian, mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut bersama lima rakannya kira-kira jam 5.15 petang tadi ke lokasi untuk berbual sambil merakam gambar.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata sejam selepas itu mangsa berdiri di atas landasan kereta api dan meminta seorang rakan mengambil gambarnya.

“Pada masa yang sama terdengar kereta api hampir melalui landasan itu menyebabkan mangsa panik.

“Mangsa tidak sempat berlari turun dari landasan dan terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri.

“Rakan mangsa yang lain pula sempat berlari ke tepi landasan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Ab Rashid berkata, selepas kereta api berlalu, rakannya menuju ke lokasi mangsa terjun dan ternampak mangsa berada di dalam sungai sambil melambai tangan meminta tolong.

“Rakan mangsa terus terjun untuk cuba menyelamatkannya tetapi gagal. Mayat dibawa ke Hospital Kelaboran bagi proses bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X