Rabu, 27 Februari 2019 | 2:34pm
Nasaruddin hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Seseorang seolah-olah dipukul dan ditendang - Saksi

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, beliau nampak seseorang seolah-olah dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu sehingga menyebabkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, cedera parah.

Nasaruddin Abdullah, 23, yang memberi keterangan dalam bahasa Tamil, berkata ketika itu beliau berada beberapa meter dari kumpulan orang ramai yang berkumpul di tepi jalan raya seperti mengelilingi seseorang.

Saksi ke-17 itu menganggarkan kira-kira lima hingga enam individu dari sejumlah kira-kira 30 orang yang mengelilingi seseorang itu, dilihat seperti membuat gerakan memukul dan menendang di bahagian bawah.

Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Kes, Hamdan Hamzah berhubung gerakan dimaksudkan itu, Nasaruddin yang berada dalam kandang saksi kemudian membuat gaya seperti memukul dan menendang.

Hamdan: Bagaimana gerak-geri mereka yang kamu nampak seolah-olah memukul seseorang itu?

Nasaruddin: Saya pasti dan nampak tangan mereka seperti menumbuk ke bawah dan juga nampak seolah-olah tendang sesuatu. Aksi itu juga menghala ke bawah.

Hamdan: Kamu nampak mereka pukul apa?

Nasaruddin: Saya tak tahu mereka memukul apa tetapi seperti sesuatu.

Hamdan: Adakah kamu dengar jeritan atau apa saja dari kumpulan 30 orang itu?

Nasaruddin : Saya dengar ada seseorang dalam kumpulan itu menjerit ‘Berani korang (kamu) masuk dalam kuil India!’, dan juga menggunakan kata kesat (mencarut) dalam bahasa Tamil.

Hamdan: Seterusnya apa yang kamu lakukan?

Nasaruddin: Saya hanya melihat dan turut mendengar ada seseorang menjerit ‘polis... polis...’ sebelum semua 30 orang yang berkumpul itu lari ke arah kuil.

Nasaruddin berkata, selepas semua lari ke arah kuil, beliau mencari rakannya yang dikenali sebagai Karthik dan apabila berpaling semula ke arah tempat orang ramai berkumpul, ternampak beberapa lelaki sedang mengusung seseorang.

“Saya melihat mereka mengusung seseorang yang memakai seluar bomba dan tidak berbaju. Saya juga nampak ada yang mengambil video ketika mereka mengusung seseorang itu.

“Selepas itu, Karthik panggil saya dan kami berlari ke kuil. Keadaan ketika itu seperti mahu hujan. Beberapa minit kemudian kami balik rumah,” katanya dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner Robiah Mohamad.

Sementara itu, ketika disoal peguam keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Abdul Wahab, sama ada mendengar atau tidak jeritan ‘kesakitan’ ketika melihat insiden ‘memukul’ dan ‘menendang’ berkenaan, Nasaruddin menjawab: “Tidak”.

Selain itu, katanya, ayat ‘berani korang (kamu) masuk dalam kuil India’, ditujukan kepada orang Melayu kerana ketika kata-kata berkenaan didengar, ia seperti ditujukan kepada seseorang yang berada dalam kumpulan orang ramai.

Nasaruddin memberitahu mahkamah, sebelum ternampak aksi seperti memukul dan menendang itu, beliau juga melihat sendiri keadaan huru-hara di kawasan kuil terbabit.

“Saya nampak insiden lori bomba (Fire Rescue Tender - FRT) berundur selepas diserang orang ramai (perusuh) yang membawa senjata seperti topi keledar, botol dan batu. Ada juga yang naik ke atas lori bomba memukul badan kenderaan itu dan ada yang memecahkan cermin.

“Kemudian saya nampak van (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan - EMRS) berpusing dan ternampak ada cahaya terang di pintu sisi van, tetapi tidak tahu sama ada pintu itu tercabut atau tidak. Malah saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari van itu,” katanya.

Inkues bersambung petang ini dengan saksi ke-18, iaitu pegawai polis.

4413 dibaca
Berita Harian X