Rabu, 27 Februari 2019 | 1:26pm

7 ahli Geng 08 terbabit kes pemerasan tapak pembinaan dicekup

SHAH ALAM: Sekumpulan tujuh lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pemerasan terhadap seorang pemilik tapak pembinaan reban ayam, pada 11 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, dalam satu kenyataan media, berkata kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan antara jam 3. 30 hingga 5 petang Isnin lalu, susulan maklumat daripada orang awam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat. - Arkib NSTP

Katanya, suspek yang dipercayai ahli kumpulan Kongsi Gelap Geng 08, ditahan di kawasan Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor, oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah, Kontinjen Selangor melalui Op Cantas Khas.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan tapak-tapak pembinaan bagi tujuan mendapatkan wang perlindungan.

“Jika pemilik atau pengurus tapak pembinaan enggan membayar wang perlindungan, kumpulan ini akan bertindak melakukan samun di tapak – tapak pembinaan yang disasarkan bagi tujuan mendesak mangsa yang enggan menuruti kehendak mereka sehinggalah mangsa terpaksa mengambil “khidmat keselamatan” dan membayar wang perlindungan.

“Siasatan lanjut juga mendapati kumpulan ini dipercayai melakukan beberapa kes pemerasan dan samun di tapak – tapak pembinaan di sekitar daerah Sepang, Petaling Jaya dan Serdang.

“Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari bermula dari 26 Februari hingga 4 Mac ini,” katanya.

Fadzil berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun dan jika disabitkan kesalahan mereka berdepan hukuman penjara boleh sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Pada masa sama, Fadzil berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemerasan yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap menerusi hotline polis Selangor yang diwujudkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 017-2847611.

Katanya, ia berikutan kerjasama daripada masyarakat amat signifikan dan berupaya memberi impak yang positif kepada keselamatan dan kesejahteraan awam.

Pada 4 Januari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, dalam kenyataan meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti pemerasan yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap terhadap pemaju perumahan, pengurus tapak pembinaan dan kontraktor serta orang perseorangan.

Berita Harian X