Sabtu, 23 Februari 2019 | 8:58pm
Seorang pendaki lelaki meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan sebaik tiba di puncak Gunung Besar Hantu, di Jelebu, hari ini.

Pendaki meninggal dunia selepas pengsan di puncak gunung

JELEBU: Seorang pendaki lelaki meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan sebaik tiba di puncak Gunung Besar Hantu, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata Rashid Harun, 52, meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam tadi ketika sepasukan anggotanya membawa turun mangsa.

Beliau berkata, terdahulu mangsa yang berasal dari Pangsapuri Putra Indah, Seri Kembangan, Selangor, memulakan pendakian pada awal pagi bersama-sama 13 rakannya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di puncak gunung setinggi 1,200 meter, mangsa dilaporkan pengsan.

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.57 tengah hari sebelum mengerahkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya tiba di kaki gunung terbabit kira-kira jam 2.40 petang dan memulakan pendakian sebelum tiba di puncak tiga jam kemudian.

“Namun, ketika membawanya turun, mangsa meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam.

“Ketika ini, mayat mangsa dalam perjalanan dibawa turun untuk diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya berusaha yang terbaik untuk membawa turun mangsa, namun jarak pendakian yang jauh dan berliku menyukarkan keadaan.

Berita Harian X