Sabtu, 23 Februari 2019 | 1:39pm
Mohd Ismail Md Isa.

Penunggang motosikal maut digilis kenderaan

PENDANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis beberapa kenderaan di Kilometer 55.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam, Mohd Ismail Md Isa, 46, dari Kampung Seberang Pendang, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Pembonceng, Muhammad Khairil Anuar Muhammad Rodzi, 27, dari Kampung Alor Selut, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, pula parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 12.30 tengah malam memaklumkan sebuah motosikal terbabas sendiri.

Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal tercampak ke lorong kanan lebuh raya sebelum digilis beberapa kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pembonceng motosikal yang terjatuh di lorong kecemasan pula parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke HSB untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X