Jumaat, 22 Februari 2019 | 11:46pm

Rakyat Malaysia ditahan di Palembang sukarelawan perubatan alternatif

KUALA LUMPUR: Enam belas rakyat Malaysia yang ditahan di Palembang oleh pihak berkuasa Indonesia atas dakwaan menyalahguna visa sosial ke republik berkenaan dipercayai kakitangan sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan perubatan alternatif.

Datuk Chris Leong, pakar tulang kaedah perubatan terapi Cina Tit Tar ditahan bersama 19 sukarelawan untuk agensi Chris Leong Method (CLM) termasuk empat warga asing kerana melanggar peraturan visa melancong pada 8 Januari lalu.

Menurut laporan media Indonesia, Chris dilaporkan ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Palembang bersama pasukan sukarelawannya itu yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, dua warga Hong Kong serta masing-masing seorang warga Belgium dan Ireland.

Sementara itu, berdasarkan status dimuat naik di akaun Facebook milik Chris, penyokongnya membuat satu petisyen dalam talian bagi mendesak usaha dilakukan untuk membawa Chris bersama sukarelawan pulang ke Malaysia.

Petisyen itu menggesa satu tindakan yang sama diambil seperti kes penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja.

Terdahulu, BH melaporkan Kementerian Luar mengesahkan 16 rakyat Malaysia kini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia atas dakwaan menyalahgunakan visa sosial ke republik berkenaan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar memaklumkan semua tahanan itu ditahan pada 9 Januari lalu di Palembang, Sumatera Selatan.

Menurutnya, berikutan itu pada 18 Februari lalu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Retno L P Marsudi untuk memberi perhatian kepada isu kebajikan serta kesihatan tahanan.

2267 dibaca
Berita Harian X