Jumaat, 22 Februari 2019 | 3:05pm

Panik sejam terperangkap dalam kereta

KUCHING: Seorang kanak-kanak tadika terperangkap hampir sejam dalam kereta disebabkan kelekaan seorang wanita, dipercayai penjaganya, bersembang dengan seorang rakannya.

Sebaik menyedari kanak-kanak berusia dua tahun itu terperangkap, wanita berkenaan yang cuba membuka pintu kereta, namun gagal sebelum menghubungi talian kecemasan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada wanita berkenaan pada jam 7.44 pagi tadi memohon bantuan mengeluarkan kanak-kanak berkenaan.

“Wanita itu dikatakan hendak menghantar kanak-kanak terbabit ke tadika berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, namun apabila dia keluar dari kenderaan dan berbual dengan kawan, pintu kereta tiba-tiba berkunci secara automatik menyebabkan kanak-kanak tersebut terkunci dari dalam,” katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

“Anggota bertugas cuba berikhtiar membuka pintu kereta berkenaan secara manual, namun gagal.

“Atas persetujuan wanita berkenaan, mereka terpaksa memecahkan tingkap bahagian tengah kereta tersebut untuk membuka pintu dan berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu,” katanya.

Berita Harian X