Khamis, 21 Februari 2019 | 2:56pm
NADIN Junianti Najiri (belakang tiga dari kiri), melihat gambar suaminya ketika ditemui di penempatan setinggan berhampiran Sim-Sim, di Sandakan. - NSTP/Fail NSTP

"Selamatkan suami saya"

SANDAKAN: “Tolonglah selamatkan suami saya.”

Hanya itu mampu diluahkan Nadin Junianti Najiri, 25, isteri Jari Abdullah, 34, susulan video terbaharu menunjukkan dua daripada mangsa culik iaitu Hariadin, 45, dan Heri Ardiansyah, 19, bersama-sama kumpulan militan Abu Sayyaf dengan parang diacukan ke leher Hariadin.

Nadin Junianti berkata, dia dihubungi penculik dua hari lalu yang meminta berusaha mendapatkan bantuan kerajaan Malaysia untuk mengadakan rundingan dengan penculik sebelum menghantar video berkenaan menerusi aplikasi Messenger.

“Siapa tak panik apabila melihat video itu. Saya hampir pengsan biarpun suami saya tiada dalam video. Bantulah kami kerajaan Malaysia.

“Hingga sekarang tiada pihak (daripada kerajaan) yang hubungi saya. Kami tidak tahu lagi mahu ke mana (untuk minta bantuan),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 6 Disember lalu, ketiga-tiga nelayan itu dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Tiga nelayan terbabit kemudian disahkan diculik selepas seorang daripada isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke tempat tidak diketahui di Filipina.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata berdasarkan maklumat, ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik dan pasukan keselamatan Filipina berusaha menyelamatkan mereka.

Nadin Junianti berkata, ini kali ketiga penculik yang dipercayai menggunakan orang tengah yang boleh berbahasa Melayu untuk menghubunginya.

Katanya, selain mengugut untuk mengancam keselamatan semua mangsa, penculik juga meminta mereka mencari inisiatif termasuk meminta bantuan wakil rakyat kerana sehingga kini tiada rundingan dilakukan dengan pihak penculik.

“Sudah lebih dua bulan sejak mereka diculik. Kami cuma dapat tahu khabar mereka apabila dihubungi penculik,” katanya.

901 dibaca
Berita Harian X