Khamis, 21 Februari 2019 | 2:31pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua dari kiri) semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Sabah dan Sarawak di Sandakan. - Foto Hazshah Abdul Rahman

PDRM berusaha bebaskan mangsa culik

SANDAKAN: Pasukan keselamatan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi memastikan tiga mangsa culik, termasuk seorang warga Malaysia yang diancam dipenggal kepala oleh militan Abu Sayyaf, dapat dibebaskan dengan selamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan kumpulan penculik memuat naik video mengacukan parang ke leher mangsa culik ke laman Facebook ialah perang psikologi bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa.

“Ia perang psikologi kepada pihak keselamatan dan juga keluarga mangsa untuk memberi tekanan agar permintaan mereka ditunaikan.

“Kita akan lihat kaedah bagaimana dapat membantu membebaskan mangsa nanti dengan bekerjasama dengan pihak keselamatan Filipina,” katanya selepas Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabah dan Sarawak di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, militan Abu Sayyaf yang menjadikan nelayan Indonesia dan Malaysia sebagai tebusan mengancam untuk memenggal semua mangsa, melainkan jika menerima wang tebusan.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar beramai selepas Majlis Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Sabah dan Sarawak di Sandakan. - Foto Hazshah Abdul Rahman

Video yang muncul di Facebook pada 14 Februari lalu memaparkan seorang lelaki Indonesia dengan leher diacu pisau merayu presiden negaranya dan pihak berkuasa berunding bagi membebaskan mereka.

Video itu dimuat naik seorang pengguna dengan nama Kim Hundin pada jam 5 pagi (waktu tempatan), 14 Februari lalu dan dipercayai disunting terlebih dahulu.

Kedua-dua tebusan dengan muka bertutup yang kelihatan dalam rakaman berkenaan dipercayai sebagai rakyat Indonesia, Heri Ardiansyah, 19 dan Hariadin, 45.

Mereka diculik bersama-sama seorang lagi rakyat Malaysia, Jari Abdulla, 24, dari kapal pukat yang berlabuh di Sandakan, berhampiran gugusan kepulauan Tawi Tawi milik Filipina, 5 Disember lalu.

Terdahulu, Mohamad Fuzi berkata, tahap ancaman serangan jenayah membabitkan bahan kimia dalam negara ini sangat rendah dan terkawal, namun dijangka meningkat pada masa akan datang.

“Kita cuma ada dua tiga kes membabitkan serangan kimia ini. Antaranya kes Kim Jong Nam (warga Korea Utara). Selain itu, kes membabitkan kilang projektor di Selangor dan Negeri Sembilan serta beberapa kes lagi.

“Dalam menghadapinya pada masa akan datang, kita menghasilkan buku yang antaranya menerangkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan siasatan jika berlaku kes sedemikian,” katanya.

333 dibaca
Berita Harian X