Khamis, 21 Februari 2019 | 10:01am
Lelaki berusia 50-an ditemui mati rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Triang, Bera malam tadi. - Foto ihsan Bomba

Lelaki rentung dalam kebakaran

BERA: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Baru Triang, di sini, malam tadi.

Mangsa yang berusia 55 tahun ditemui rentung dalam satu rumah yang musnah sepenuhnya dan mangsa dipercayai dihempap almari ketika kejadian itu.

Identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

Dua rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang terbabit dalam operasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad, berkata kejadian itu disedari oleh anggota bomba yang bertugas pada jam 10.47 malam dan sebuah jentera pemadam (FRT) dengan lima anggota tiba dua minit kemudiannya.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian didapati api marak membakar sepenuhnya rumah pertama dan orang awam memaklumkan ada dua mangsa terperangkap dalam satu daripada rumah terbakar.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 23.41 malam berikutan kekangan tekanan air rendah dan bekalan elektrik tidak dapat diputuskan.

“Setelah pemugaran dibuat, didapati hanya satu mangsa sahaja ditemui rentung dalam sebuah bilik dan dihempap almari, mangsa kedua didapati berjaya menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, sembilan penghuni rumah berjaya diselamatkan dalam operasi membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Triang, 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela Kemayan, sembilan anggota BBP Bukit Angin, Temerloh dan lapan anggota polis serta tiga jentera pemadaman.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan dua pegawai penyiasat kebakaran dari Ibu Pejabat JBPM Pahang dan seorang dari Zon dua diarahkan melakukan penyiasatan.

“Anggaran awal kerugian adalah RM200,000,” katanya.

312 dibaca
Berita Harian X