Khamis, 21 Februari 2019 | 9:42am
Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki ditemui dalam keadaan terbalik di Sungai Long Towie, Kampung Segaliud, malam tadi. - Foto ihsan Pembaca

Bot terbalik, lelaki dikhuatiri lemas

KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki ditemui dalam keadaan terbalik di Sungai Long Towie, Kampung Segaliud, dekat sini, malam tadi.

Mangsa, Mohamad Salim, 61, dikatakan keluar memukat ikan di sungai berkenaan seorang diri, jam 7 pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sebaik menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Kinabatangan, jam 10.55 malam tadi.

Katanya, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerah ke lokasi kejadian pada jarak 14 kilometer dari balai bomba.

“Menurut laporan daripada polis, mangsa dipercayai hilang di sungai ketika memukat ikan dengan menaiki bot.

“Pencarian awal menemui bot mangsa dalam keadaan terbalik namun mangsa gagal ditemui,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR dilakukan oleh pasukan bomba di sepanjang sungai bersama penduduk kampung dan mangsa gagal ditemui.

“Operasi SAR ditangguh 1 pagi tadi dan disambung pagi hari ini,” katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Segaliud, John Untol ketika dihubungi berkata, Mohamad keluar memukat ikan di sungai jam 7 pagi semalam dan anaknya memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sehingga 8 malam tadi.

“Kami kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan turut menjalankan pencarian bersama-sama pasukan bomba.

Berita Harian X