Rabu, 20 Februari 2019 | 2:55pm
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) ketika sidang media pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Selangor di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini. Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin. - Foto BERNAMA

Polis masih siasat hubungan Nik Abduh dengan CIA

SHAH ALAM: Polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan terhadap Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang dikatakan ada hubungan rapat dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya tidak boleh mengulas lanjut mengenai dakwaan terhadap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, kerana ia masih pada peringkat awal siasatan.

“Perkara ini masih di peringkat awal siasatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Selangor kepada 318 penerima pelbagai pangkat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), menggesa polis menjalankan siasatan terhadap Nik Mohamad Abduh yang dikatakan ada hubungan rapat dengan agensi risikan Amerika Syarikat itu.

Ini berikutan pengesahan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bahawa rakaman audio yang tersebar berhubung pengakuan penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO adalah suara milik Nik Mohamad Abduh.

Rakaman audio itu antara lain berbunyi: “Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana.”

Berita Harian X