Rabu, 20 Februari 2019 | 2:01pm

Padah tunjuk 'anu', dipenjara 12 bulan

KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan menunjukkan kemaluan kepada seorang jurujual.

Hukuman bermula hari ini diputuskan Majistret Izuddin Mohd Shukri selepas tertuduh, Muhammad Asyraf Baharudin, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang jurujual wanita berusia 36 tahun dengan menunjukkan kemaluan di kaunter sebuah kedai runcit di Pasir Hor di sini jam 8.57 pagi pada 8 Februari lalu.

Tertuduh mengulangi perbuatan sama pada jam 8.53 pagi, 12 Februari lalu dan pada jam 9.02 pagi, 14 Februari lalu di lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di kaunter kedai runcit, tertuduh datang untuk membuat pembayaran dan ketika ingin membayar dia membuka zip seluar sebelum mengeluarkan kemaluannya di hadapan wanita itu.

Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berpurdah itu beberapa kali dan kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum laporan polis dibuat.

Terdahulu, tertuduh memohon kepada mahkamah memberikan hukuman ringan kerana insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran.

6634 dibaca
Seorang penganggur, Muhammad Asyraf Baharudin, 24, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada seorang jurujual wanita berusia 36 di kaunter sebuah kedai runcit di Pasir Hor pada 08 Februari lalu. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X