Isnin, 18 Februari 2019 | 10:12am
LIMA individu termasuk dua pelancong asing yang terkandas lebih lima jam akibat keletihan ketika beriadah dalam Hutan Simpan Hujung Kelawai, diselamatkan bomba, malam tadi. - Foto ihsan bomba

Kandas di hutan simpan

PANGKOR: Lima orang termasuk dua pelancong asing yang terkandas lebih lima jam akibat keletihan ketika beriadah dalam Hutan Simpan Hujung Kelawai di sini, diselamatkan bomba, malam tadi.

Kumpulan termasuk seorang jurupandu pelancong tempatan berusia 45 tahun itu masuk dalam hutan berkenaan untuk aktiviti riadah dan mendaki bukit kira-kira jam 2 petang semalam, sebelum meminta bantuan bomba akibat keletihan dan tidak mampu keluar dari hutan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor, Nor Mazlan Mohd Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.28 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk bantuan lanjut.

“Operasi menyelamat lima mangsa membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta masing-masing seorang wanita warga Jepun dan lelaki warga Norway berusia antara 45 hingga 69 tahun.

“Mereka keletihan selepas menjalankan aktiviti riadah dalam hutan berkenaan dan selepas kira-kira lima jam berjalan, bomba menemui mangsa pada jam 9.50 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ditemui, katanya, semua mangsa berada dalam keadaan keletihan tetapi tidak mengalami kecederaan.

Selepas dibawa keluar dari hutan, semua mangsa dihantar ke Hospital Desa Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 12.50 tengah malam.

320 dibaca
Berita Harian X