Ahad, 17 Februari 2019 | 3:30pm
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kereta BMW dipandu seorang lelaki yang terbakar dalam kemalangan di Jalan PJU 1A/1 menghala ke Jalan Lapangan Terbang Subang (LTAAS), Petaling Jaya. - Foto NSTP

Identiti pemandu rentung dikenal pasti

PETALING JAYA: Pemandu kereta BMW yang dilaporkan rentung dalam kemalangan di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, Petaling Jaya, awal pagi tadi, dikenali sebagai Voon Tse Lik, 29.

Identiti mangsa dikenal pasti berdasarkan pemeriksaan awal polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya, yang mengesan nombor enjin kereta berkenaan didaftar atas nama syarikat Farmcochem Sdn Bhd beralamat di Silibin, Ipoh, Perak.

Tse Lik adalah pengurus syarikat terbabit.

Polis menghadapi kesukaran mengecam identiti mangsa dan rekod pendaftaran kereta berkenaan berikutan keadaan mayat dan kereta jenis BMW 523I E60 berkenaan rentung sepenuhnya.

Polis Daerah Petaling Jaya bagaimanapun dapat mengesan waris dan kenalan mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.30 pagi tadi di Jalan PJU 1A/1, menghala Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah LTSAAS.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan terbabas di tepi jalan dan melanggar sebatang pokok sebelum dilaporkan terbakar.

“Kebakaran dapat dipadamkan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba Petaling Jaya 15 minit selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, polis sudah menghubungi adik kandung mangsa untuk tindakan selanjutnya.

1272 dibaca
Berita Harian X