Ahad, 17 Februari 2019 | 9:54am
DADAH jenis heroin dan syabu yang dirampas polis di sebuah rumah di kampung Makam Mahsuri, Mukim Ulu Melaka. - Foto IHSAN PDRM

Pengedar dadah ditahan

LANGKAWI: Dua pengedar dadah ditahan bersama heroin, syabu dan ganja dalam serbuan berasingan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan Balai Kuah.

Dalam serbuan pertama, katanya, polis menahan lelaki berusia 23 tahun di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, di sini, kira-kira jam 2.40 petang.

“Pemeriksaan menemui tiga keratan plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 17.0 gram (g) dan satu keratan straw mengandungi syabu seberat 0.2 g.

“Polis turut merampas wang tunai RM254 dalam poket seluar yang dipakai suspek, dipercayai hasil jualan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, serbuan kedua membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah pondok di Kampung Baru, Mukim Ulu Melaka, jam 10 malam tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui tujuh paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 31.7 g, selain lima paket mengandungi ganja seberat 7.7 g.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki yang positif dadah morfin itu, mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek yang juga penduduk tempatan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X