Sabtu, 16 Februari 2019 | 9:51pm
Seorang wanita maut selepas kenderaan SUV yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 139 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah petang tadi. - Ihsan Bomba Pahang

Pegawai bomba cedera, isteri maut

ROMPIN: Seorang pegawai bomba parah manakala isterinya maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya merempuh lori di Kilometer 139 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah, petang tadi.

Rosli Kadir, 49, yang bertugas di Balai Bomba Al Mukhtafi Billah Shah, Terengganu, patah kaki kiri, manakala Faridah Mohamed, 51, meninggal dunia di lokasi dalam kemalangan jam 3.15 petang.

Anak pasangan itu, Muhammad Fakhri, 19, yang duduk di sebelah pemandu, patah tangan kiri.

Dua beranak itu dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan. Mayat Faridah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati tiga beranak itu yang menaiki SUV Nissan X-trail dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor menuju Kuantan.

Sebaik tiba di lokasi, SUV itu dikatakan cuba memotong kenderaan sebelum terbabas dan merempuh lori membawa muatan buah-buahan di laluan bertentangan.

“Rempuhan itu menyebabkan Faridah yang duduk di tempat penumpang belakang maut di lokasi,” katanya ketika dihubungi.

Pemandu dan penumpang lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X