Sabtu, 16 Februari 2019 | 4:53pm

Geng Mat Top, aktif kegiatan ragut tumpas

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan peragut dikesan menggerakkan tiga orang ahlinya untuk melakukan setiap misi jenayah mereka termasuk memainkan peranan sebagai orang awam yang membantu memberkas suspek sekiranya rakan jenayah mereka ditangkap.

Itu adalah salah satu taktik digunakan oleh ‘Geng Mat Top’ yang dilaporkan aktif dalam kegiatan jenayah ragut sekitar Lembah Kelang, sejak tahun 2016 sehingga dilaporkan mampu memperoleh RM10,000 sehari sebelum berjaya ditumpaskan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 28 Januari dan 2 Februari lalu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata setiap tiga ahli kumpulan ragut ini turut memainkan peranan penting semasa mereka melakukan jenayah berkenaan iaitu memantau lokasi, memantau mangsa yang menjadi sasaran serta melakukan ragut.

“Kumpulan ragut ini mempunyai pelbagai taktik sehingga mereka sukar dikesan dan sekiranya salah seorang dari ahli yang ditugaskan untuk melakukan ragut tertangkap maka dua lagi rakan jenayahnya akan datang dan berpura-pura membantu memberkas suspek.

“Apabila keadaan dirasakan ‘selamat’ bagi mereka, suspek yang melakukan ragut tadi akan dibebaskan oleh dua lagi rakannya yang kononnya datang untuk memberkas rakan peragut mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menunjukkan barang kes pada sidang media OP Rentap Khas Geng Mat Top di IPD Dang Wangi. - Foto Hafiz Sohaimi

Beliau berkata, setiap tiga ahli yang menjalankan setiap misi jenayah ragut mereka akan memakai jaket berwarna hitam bagi membolehkan geng mereka dikenali rakan jenayah masing-masing.

“Kejayaan kita bermula selepas polis memberkas seorang lelaki berusia 22 tahun di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Chulan, di sini, selepas disyaki terbabit meragut rantai leher seorang wanita.

“Hasil soal-siasat ke atas suspek terbabit membawa kepada serbuan susulan ke atas sebuah rumah sewa di Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum memberkas 10 lelaki berusia antara 21 hingga 35 tahun,” katanya.

Dalam serbuan sama polis turut merampas telefon bimbit (18 unit), motosikal (15 buah), topi keledar (20 unit) serta 20 keping plat pendaftaran selain menyita sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Hypermotard 821 serta kereta jenis Mercedes Benz AMG A45 dan Honda Jazz dipercayai dibeli secara tunai hasil kegiatan jenayah ragut.

Mazlan berkata, siasatan lanjut turut membongkar sebuah akaun bank mengandungi wang simpanan sebanyak RM217,000.

Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Seksyen 45 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Katanya, tiga daripada 11 yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes ragut, samun dan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim melihat barang kes selepas sidang media OP Rentap Khas Geng Mat Top di IPD Dang Wangi. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X