Sabtu, 16 Februari 2019 | 10:55am
Seorang lelaki, Zulkifli Jusoh, 48, maut ketika mendaki puncak Bukit Gua Musang dipercayai akibat serangan jantung petang tadi. Mayat dibawa turun dengan bantuan bomba sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. - Foto ihsan JBPM Kelantan

Mendaki puncak berketinggian 1,200 meter sebelum ajal

GUA MUSANG: “Sudah beberapa kali arwah anak mendaki puncak gua batu kapur itu untuk melihat keindahan alam.

“Namun, kali ini saya tidak menyangka anak pergi untuk selama-lamanya di atas puncak gua itu,” kata Jusoh Che Muda, 73, bapa kepada Zulkifli, 48, yang menemui ajal di puncak gua batu kapur Gua Musang, semalam.

Zulkifli yang juga penjual burger meninggal dunia jam 6.15 petang dipercayai akibat serangan jantung ketika berada di puncak gua batu kapur itu yang berketinggian 1,200 meter.

Jusoh berkata, anaknya gemar mendaki dan dia pergi bersama rakannya untuk beriadah pada sebelah petang.

Katanya, dia terkejut selepas dimaklumkan anaknya meninggal dunia di puncak gua sebelum bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM).

“Dia (arwah) tinggal bersama dua adiknya di Jalan Pulai Bandar, di sini dan saya tinggal berasingan di Kampung Tiong.

“Saya sudah lama tidak berjumpa anak dan reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HGM, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan, hari ini.

NSTP malam tadi melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia di puncak gua batu kapur Gua Musang dipercayai akibat serangan jantung selepas mendaki bersama lapan rakannya, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Zukifli Jusoh, 48, dikatakan pitam secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dibawa turun dengan bantuan bomba sebelum diserahkan kepada polis serta dibawa ke hospital.

Berita Harian X