Sabtu, 16 Februari 2019 | 1:44am
SEORANG lelaki meninggal dunia ketika mendaki puncak Bukit Gua Musang akibat serangan jantung petang tadi. - NSTP/Ihsan JBPM Kelantan

Ajal di puncak bukit

GUA MUSANG: Seorang lelaki meninggal dunia di puncak Bukit Gua Musang di sini, dipercayai akibat serangan jantung selepas mendaki bersama tujuh rakannya, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, Zukifli Jusoh, 48, dikatakan pitam secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat dibawa turun dengan bantuan bomba sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, mangsa dikatakan mendaki bukit itu bersama rakan bermula jam 5 petang.

Katanya, rakan mangsa memaklumkan mangsa terjatuh secara tiba-tiba dan pitam sebelum mereka menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 6.21 petang sebelum 21 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bantuan pernafasan (CPR) diberi kepada mangsa namun tiada tindak balas sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa hampir tiga jam membawa mangsa turun ke kaki bukit.

“Kami menggunakan teknik ikatan tali khas berikutan terpaksa berdepan kecerunan bukit sehingga 90 darjah.

“Pasukan tiba di kaki bukit jam 10.48 malam sebelum kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

1452 dibaca
Berita Harian X