Jumaat, 15 Februari 2019 | 8:57pm
KEJADIAN runtuhan bumbung dipercayai berlaku apabila pemandu kren terlanggar struktur tiang, menyebabkan kerangka bumbung yang masih dalam pembinaan runtuh di Lorong Perusahaan Maju 8, Juru, hari ini. - Foto BERNAMA

TERKINI: Mangsa ketiga runtuhan bumbung meninggal dunia

BUKIT MERTAJAM: Seorang lagi pekerja disahkan cedera parah selepas dihempap tiang dan kerangka bumbung dalam kejadian runtuhan di sebuah kilang dekat Lorong Perusahaan Maju 8, Perai, di sini, disahkan meninggal dunia.

Ia menjadikan tiga lelaki maut dan tiga lagi cedera parah dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata mangsa ketiga yang meninggal dunia disahkan warga Myanmar.

“Polis menerima laporan mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

“Tiga pekerja yang meninggal dunia membabitkan warga tempatan, Myanmar dan Indonesia,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, tiga lagi yang cedera parah dilaporkan kritikal akibat kecederaan di kepala.

Dalam kejadian jam 4.20 petang tadi, enam pekerja dilaporkan terperangkap selepas dihempap tiang dan kerangka bumbung.

Melalui siasatan awal polis, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kren terlanggar struktur tiang, menyebabkan kerangka bumbung yang masih dalam pembinaan runtuh.

Berita Harian X