Jumaat, 15 Februari 2019 | 6:53pm

Dua maut, 3 cedera parah tiang dan kerangka bumbung runtuh

BUKIT MERTAJAM: Dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera parah selepas ditimpa tiang dan kerangka bumbung dalam kejadian runtuhan di sebuah tapak pembinaan di Lorong Perusahaan Maju 8 dekat Perai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lima pekerja dipercayai warga asing dikatakan sedang melakukan kerja-kerja membina semula bangunan kilang yang terbakar sebelum kerangka bumbung tiba-tiba runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.42 petang.

Katanya, terdapat lima mangsa terperangkap dalam runtuhan berkenaan.

“Empat mangsa sudah dikeluarkan yang mana dua daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Kita sedang menjalankan kerja-kerja mengeluarkan seorang lagi mangsa yang tersepit,” katanya, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

KEADAAN sebuah tapak pembinaan bangunan rutuh di Kawasan Perusahaan Perai. - Foto Ihsan Bomba
Berita Harian X