Khamis, 14 Februari 2019 | 5:17pm
SAKSI ketujuh, Mohd Sharol Anuar hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Kami nak padam api, mereka jerit, ugut nak pukul bomba - saksi

SHAH ALAM: Anggota bomba yang bertugas mengawal kebakaran ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada pagi 27 November tahun lalu mengalami detik mencemaskan apabila perusuh mula menjerit dan melaung-laungkan ‘pukul bomba’.

Anggota Bomba, Mohd Sharol Anuar Kamaruddin, yang bertugas memadamkan kebakaran pada hari kejadian, dalam keterangan di Mahkamah Koroner hari ini, berkata beliau dapat mendengar laungan ancaman itu sebanyak dua kali ketika turun dari jentera Fire Rescue Tender (FRT).

“Ketika turun dari FRT, saya nampak tiga orang meluru ke arah saya diikuti sekumpulan lelaki lain tetapi tidak pasti berapa ramai ... mungkin dalam 100 orang.

“Pada waktu itu saya tergamam sebab kita nak pergi padam api tapi mereka macam ugut (hendak pukul).

“Tetapi saya tidak dapat cam siapa yang mengugut kami ketika itu,” katanya.

“Dalam keadaan kecoh itu, saya naik semula ke dalam FRT selepas memikirkan keselamatan diri dan ketika itu FRT mula berundur hendak meninggalkan kawasan rusuhan,” katanya.

Mohd Sharol berkata demikian menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah, dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam prosiding itu, anggota bomba berusia 27 tahun itu turut membuat lakonan semula mengenai suasana jeritan orang awam ketika itu.

Menjelaskan lanjut, Mohd Sharol berkata, ketika berada dalam FRT, dia dimarahi penyelia operasi, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam Salim@Ali kerana tidak mengikut arahan supaya tidak turun daripada kenderaan.

“Ketika dalam FRT itu, Saya duduk di bahagian tengah memandang ke arah hadapan dan nampak van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) di depan jentera FRT.

“Pemandu FRT, Md Elliza Mohd Noor cakap ‘ini dah melampau’ dan Badrul gunakan GIRN(walkie talkie) hubungi Pusat Gerakan Operasi cakap kami diserang tetapi tiada isyarat liputan,” katanya.

Ditanya peguam Yahaya Othman yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohd Sharol Anuar bersetuju keadaan dikerumuni orang ramai bersenjata dengan suasana riuh menyebabkannya rasa terancam.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok dengan memanggil dua saksi awam.

1989 dibaca
Berita Harian X