Khamis, 14 Februari 2019 | 4:32pm
SAKSI Mohd Hazim (tengah) bersama rakan hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari keempat di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Bernama

Perusuh bawa senjata termasuk pedang samurai

Siti Nurazlinee Azmi & Norrasyidah Arshad

bhnews@nstp.com.my

SHAH ALAM: Perusuh dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu, membawa tiang, pedang samurai, kayu, batu dan topi keledar sebagai senjata.

Anggota bomba, Mohd Hazim Mohd Rahimi, 32, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, ketika sampai di kuil itu bagi kerja memadamkan kebakaran, beliau nampak orang ramai (perusuh) dari arah kuil lari menyerbu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan seorang daripada mereka mengejarnya dalam keadaan marah.

“Lelaki yang marah itu tidak membawa senjata, tetapi saya nampak perusuh lain ada yang membawa tiang panjang berwarna putih, objek lurus seperti pedang samurai, kayu, batu dan topi keledar sebagai senjata.

“Saya nampak lelaki itu berlari menuju ke arah saya dan sekumpulan perusuh yang lain berlari dan cuba menyerbu jentera FRT.

“Saya kemudian terus lari ke van Perkhidmatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam inkues bagi mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Mohd Hazim berkata, sepanjang berada di dalam van EMRS beliau tidak nampak Muhammad Adib turun daripada van itu.

Sementara itu, ketika ditanya peguam kepada keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman Abdul Wahab, sama ada beliau nampak pintu kiri van yang dinaiki Muhammad Adib dibuka, Mohd Hazim berkata tidak nampak.

Mohd Hazim berkata, jika Muhammad Adib keluar pastinya beliau akan nampak kerana dia memakai pakaian seragam celoreng bomba pada hari kejadian.

Ketika ditanya oleh Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah, mengenai anggota lain yang turut turun daripada FRT ketika itu, Mohd Hazim menjawab ada seorang lagi yang turun tetapi naik semula selepas perusuh menyerbu FRT.

Selain itu, katanya, beliau dapat merasakan van EMRS berundur selepas dilanggar FRT kerana dapat rasa hentakan itu manakala cermin belakang pecah akibat dibaling topi keledar.

“Pintu van EMRS pula tercabut selepas berpusing dan bergesel dengan FRT. Namun, sebaik saja dapat keluar dari kawasan kekecohan itu, pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, terus memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Ketika ditanya oleh seorang lagi peguam keluarga Muhammad Adib, Yahaya Othman, bagaimana beliau tahu terdapat seorang perusuh mengejarnya, Mohd Hazim berkata lelaki itu berlari ke arahnya dalam keadaan marah.

“Lagipun sebahagian daripada perusuh sudah menyerang FRT jadi pada anggapan saya waktu itu mereka juga akan mencederakan saya.

“Saya hanya fokus untuk selamatkan diri. Keadaan kelam-kabut dan apa yang saya nampak hanya van EMRS kerana ia paling hampir berbanding pintu FRT yang jauh.

Prosding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung petang ini.

720 dibaca
Berita Harian X