Rabu, 13 Februari 2019 | 8:26pm
KETUA Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam Salim@Ali hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Jentera FRT terputus hubungan dengan EMRS - Saksi

SHAH ALAM: Saksi kelima prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim, hari ini, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau terputus hubungan dengan anggota di dalam van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) pada awal pagi 27 November lalu.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Badrul Hisyam Salim@Ali, berkata ketika itu, beliau berada di dalam jentera pemadam (FRT).

Katanya, setiba di lokasi, beliau yang bertindak sebagai penyelia mahu menghubungi Pusat Gerak Operasi (PGO) untuk melaporkan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, laporan berkenaan disampaikan melalui alat komunikasi ‘walkie-talkie’ yang digunakan mereka pada malam itu.

“Bagaimanapun, tidak ada tindak balas daripada PGO. Ketika itu, orang awam datang menyerbu sambil menyerang dengan membaling objek keras seperti kayu, batu dan botol air.

“Saya cuba menghubungi van EMRS menggunakan GIRN (walkie-talkie) tetapi ‘blank spot’.

“Dalam keadaan diserang, saya tidak tahu di mana telefon bimbit saya untuk saya menghubungi anggota EMRS kerana GIRN tidak mempunyai isyarat liputan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Syazlin Mansoor.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah, Badrul Hisyam memberitahu, sebaik sampai di lokasi, dua anggota yang menaiki FRT, Mohd Hazim Mohd Rahimi dengan seorang bernama Anuar, sudah keluar bagi memadamkan kebakaran.

Bagaimanapun, katanya, kemaraan orang awam ke arah jentera FRT sambil membaling batu dan kayu menyebabkan beliau memberi arahan supaya anggota bomba yang sudah turun untuk naik semula ke FRT.

“Anggota saya ‘excited’ untuk memadamkan kebakaran. Orang ramai sepatutnya mengalu-alukan kedatangan bomba untuk padamkan kebakaran tetapi pada waktu itu, mereka marah dengan kehadiran bomba.

“Saya arahkan anggota panggil Hazim dan Anuar untuk naik semula ke FRT.

“Saya kemudian dimaklumkan anggota hanya Anuar yang ada. Hazim tidak naik ke jentera,” katanya.

Badrul Hisyam berkata, setiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan menyedari Muhammad Adib tidak ada ketika membuat panggilan baris, beliau terus meminta polis untuk segera ke lokasi kejadian.

Pada masa sama, katanya, beliau juga berusaha menghubungi telefon bimbit Muhammad Adib tetapi tidak berangkat.

“Ketika tiba di IPD Subang Jaya, saya tidak tahu Muhammad Adib tiada di van EMRS.

“Yang saya tahu, hanya Hazim tidak ada,” katanya.

Pendengaran bersambung esok.

500 dibaca
Berita Harian X