Rabu, 13 Februari 2019 | 4:26pm
NOR SHAHIRAH ditemani ibu mentuanya, Mek Jah Dollah menunjukkan gambar perkahwinan bersama arwah suaminya, Fikri pada 7 Februari lalu ketika ditemui di Kampung Pak Jah, Tumpat. - Foto Syamsi Suhaimi

Hanya empat hari jadi isteri

TUMPAT: Nikmat alam rumah tangga hanya sempat dikecapi selama empat hari sahaja sebelum suami pergi buat selama-lamanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketika inai masih merah di jari, Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, kini hanya mampu meratap merindui suami, Fikri Ghazali, 33, yang dijemput Ilahi pada Isnin lalu.

Nor Shahirah ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pak Jah di sini, berkata mereka mendirikan rumah tangga pada 7 Februari lalu sebelum kembali ke Shah Alam, Selangor dan menetap di sana.

“Majlis resepsi kami sepatutnya berlangsung pada April ini di rumah saya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kami juga merancang untuk meraikan bulan madu dalam masa yang sama mengadakan hari keluarga di Kolam Air Panas Pasir Akar, Terengganu selepas Aidilfitri ini namun segala-galanya tinggal perancangan sahaja,” katanya.

Nor Shahirah berkata walaupun berasa sangat sedih dan kadangkala gagal membendung air mata dari mengalir, dia perlu mengawal diri kerana enggan terlalu mengikut perasaan dan bimbang ‘menyeksa’ arwah.

Dalam kejadian pagi Isnin lalu, Fikri yang menunggang motosikal dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor.

Nor Shahirah berkata ketika itu mereka baharu empat hari menjalani hidup sebagai suami isteri dan menyewa di sebuah rumah di Shah Alam.

“Pada pagi kejadian suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan saya sangat gembira kerana dapat menyediakan sarapan kepadanya sebelum bergerak ke tempat kerja.

“Selepas kira-kira satu jam bertolak ke tempat kerja, saya mendapat panggilan dari seorang rakan memberitahu suami terbabit dalam kemalangan jalan raya dan dibawa ke Hospital Shah Alam,” katanya.

Jenazah Fikri dibawa pulang ke kampung halamannya di Tumpat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, di sini, pagi semalam.

Walaupun ikatannya bersama arwah suami sudah terlerai, Nor Shahirah berkata hubungannya dengan keluarga mentua akan kekal sampai bila-bila dan dia akan tetap datang berkunjung.

“Saya akan cuba untuk datang seminggu atau sebulan sekali melawat keluarga arwah kerana mereka juga keluarga saya.

“Paling penting adalah ingin menziarah kubur arwah suami yang akan saya kenang dia sampai ke akhir hayat kerana dia cinta pertama saya,” katanya.

Berita Harian X